::Teman Bersama::

Jumaat, 29 Februari 2008

Pilihan Raya Umum-12, Malaysia:Jaya

Pilihan Raya Umum-12, Malaysia:Jaya

ALHAMDULILLAH,di pagi Jumaat besamaan 21 Safar 1429 H ini, setelah sekian senyap langkah, penulis berasa terpanggil dengan suara peristiwa menyayat hati. Teringat akan peristiwa si ibu yang menangisi nasib diri. Si ibu berdoa dengan penuh hiba, terhina diusir dari rumah yang telah 25 tahun didiami. Tangis si ibu memohon agar nasib terbela oleh Zat Yang Maha Kuasa. Segala peristiwa terakam di Kampung Rimba Jaya, Shah Alam. Di hadapan Pegawai Simpanan Persekutuan juga Majlis Daerah Shah Alam yang bertindak mengikut arahan, hanya mampu memandang.

Lebih 300 rumah setinggan dirobohkan ketika Rayuan di Mahkamah Persekutuan masih berjalan ketika itu. Hari ini tergerak hati penulis untuk kembali kepada beberapa catatan masa lampau itu, yang mengandungi sebahagian dari apa yang penulis tulis di masa yang menakutkan itu.

Didalam doa si ibu: semoga anak-anaknya berjaya menuju akhirat, menjadi orang berprinsip serta berperindian di dalam membantu insan bawahan. Nah, peristiwa tersebut yang pernah terjadi suatu ketika dahulu menjadi satu titik sejarah.

Dalam diam jua penulis melihat akan persekitaran yang dari hari ke hari menampakkan satu momentum jelas, bahawa bumi ini memerlukan satu garapan baru kerana sakit dengan tangan-tangan hina.

Merubah

Merubah dan mengubah akan hala tuju, yang selama ini terus dicorakkan oleh satu aliran pemikiran yang sudah terlalu lama dibiarkan menari tanpa henti mengikut kata hati. Secara sifirnya, mana mungkin tidak tergejolak nafsu riak, bangga akan diri. Dek kerana berjaya memimpin atas nama warisan. Segala kemungkaran ditutup, diiya dengan komplot konspirasi terhina.

Sistem kehakiman bergejolak, merundum kerana dihina pengamalnya. Jurnal Kehakiman Malaysia , suatu ketika dahulu menjadi antara sumber terpenting rujukan dunia perundangan semakin dipandang enteng, dek kerana campur tangan pihak berkepentingan.Bangkai cuba ditutupi dengan segala helah yang diadakan berserta bukti-bukti karut.

Manakala, media massa penyampai berita tuli. Terus-terusan bergelumang dengan dosa, kerana sibuk mengadu domba di media arus perdana.Perkara yang haq, diolah bagi menampakkan cela. Keadilan bersuara dihakis sikap pentingkan “perut sendiri” di kalangan pengamal media.

Firman ALLAH SWT:

“Mereka itulah yang membeli kehidupan dunia dengan akhirat, maka tiadalah akan diringankan seksa ke atas diri mereka dan mereka juga tidak akan diberi pertolongan”

(al-Baqarah:86)

Penulis tersentuh dengan penyataan seorang teman. Betapa beliau berasa terhina berada di dalam kerjaya yang berkait terus dengan media massa.

Terhina kerana tangan-tangan dunia yang mencengkam dengan mengatur dari tersiarnya berita benar.

Terhina kerana setelah sekian lama media (secara umum) menjadi tunggangan pihak-pihak bekepentingan. Tertutup ruang bagi pihak bertentangan aspirasi, berpartisipasi.

Terhina apabila terasa terngiang-ngiang suara yang mengutuk tugas dan peranan media secara telus.

Nah, lihatlah betapa besarnya penipuan dunia yang sementara ini. Betapa yang jujur dan berazam bersungguh-sungguh turut terkesan dengan tindakan tidak bermoral dan tercela.

Manusia segera tergerak nafsunya apabila harta dan kekayaan terhidang di depan mata. Maruah dan integriti yang dipelajari tidakmenjadi amali. Apakah penyataan daripada Firman ALLAH tidak diimani:

“Dan di waktu Tuhan mengambil janji orang-orang yang diberikan olehnya kitab; iaitu hendaklah kamu sekalian menerangkan perkara-perkara yang tersebut di dalam kitab itu, dan jangan sampai kamu menyembunyikannya”

(ali-Imran: 187)

“Hanyasanya orang yang takut kepada ALLAH dari golongan hamba-hambaNYA itu, ialah orang-orang yang berilmu pengetahuan”

(al-Fatir:28)

Suasana Menyesakkan

Penulis berasa dihimpit memikir masa-masa mendatang, yang menampakkan titik-titik noda yang semakin hari semakin menghitamkan hati-hati yang makin jauh dari petunjuk Illahi. Andai maksiat terus-terusan menjadi penghuni bumi yang dicintai ini, kemana pula jatidiri Muslim sejati. Ditakuti menghilang, ditelan gejolak pemisahan agama dalam kehidupan.

“Hai Tuhan, pujian dan syukur bagimu: Hai Tuhan, pujian dan syukur bagimu. Hai Tuhan, berkatilah apiMu yang suci yang telah Engkau nyalakan, cahaya langitMu yang telah Engkau terbitkan. Dan kemuliaan itu bagi ALLAH, bagi RasulNya dan bagi orang-orang yang beriman”.

Anak-anak muda disibukkan dengan majlis tari-menari. Aktiviti hiburan yang tiada henti menampakkan seakan kita bakal menuruti jejak bangsa tidak berpedoman(Nau’zubillah hi minzaalik).

Penganjuran program membunuh minda dihalal dengan menutup mata, manakala gerak kerja da’wah Islam ke lapangan dihalang seboleh-bolehnya oleh pemegang tampuk kuasa. Si teruna menunjukkan aksi di jalanan bagi mengangkat harga diri yang kosong kerana tidak diambil peduli.

Budaya mengejar publisiti diri terus dijadikan santapan kepada hati-hati yang pudar dengan kecintaan dengan keilmuan. Barisan panjang dari pagi hingga ke petang, kadangkala hingga malam, penuh sabar menunggu giliran, untuk dinilai juri akan bakat yang dimiliki. Campuran lelaki dan wanita tanpa ada pemisahan seakan berjaya dibudayakan dengan megah oleh pelaku. Detik waktu yang berlalu tidak terasa, kerana gugup untuk mendapat tempat di hati juri.


Peringatan ALLAH SWT buat hambaNYA yang mahu berfikir:

“Dan ditiuplah sangkakala, maka pengsanlah setiap penghuni di langit dan di bumi, melainkan orang-orang yang dikecualikan oleh ALLAH. Kemudian ditiuplah sekali lagi, maka berbondong-bondonglah mereka berdiri menantikan”

(az-Zumar:68)

Ketenteraman agama Islam sebagai agama rasmi dikejutkan dengan pelbagai tindakan tidak henti-henti. Indikator yang sengaja tidak difahami. Islam tercatat jelas sebagai agama rasmi persekutuan di bawah peruntukkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, tetapi mengapa dicabar? Malang, tidak terbela.

Kebangkitan suara baru dalam menuntut suatu perubahan akibat muak dengan lakonan dan tindakan mengaut kekayaan di satu pihak yang memegang amanah. Penipuan, penzaliman tiada henti ,serta ribuan persoalan yang tidak terjawab akibat takut tembolok mengeluar bau yang busuk.

Mana Menghilang?

Wahai para teman seperjuangan, berbarislah dalam saff yang lurus, dengan hati yang diikhlas hanya kepada ALLAH SWT Yang Maha Mulia, menerus langkah menyedarkan bangsa dalam meletak agama Islam tercinta di tempat teringgi. Berhiburlah dengan firman-firman suci ALLAH SWT bagi memujuk rasa-rasa keputus-asaan:

“Siapakah orang yang lebih baik ucapanya daripada orang menyeru kepada ALLAH dan berbuat kebaikan”

(Fushshilat:32)

Firman ALLAH SWT:

“Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, setengah mereka menjadi pemimpin kepada setengah yang lain; mereka menyuruh mengerjakan yang baik dan melarang dari mengerjakan yang jahat dan mereka mendirikan sembahyang”

(at-Taubah:71)

Bermotivasilah berbekal al-Quran dan Sunnah dalam mengejar negeri abadi. Rungkaikan pertembungan hati dengan mengerah nafsu melakukan tugasan selaku khalifah di bumi. Peringatkan kakimu untuk melangkah ke arah jihad yang diiktiraf ALLAH SWT serta Rasulullah SAW. Nasihatilah Akalmu, bahawa ia tidak setanding dengan penciptanya. KepadaMU, Ya ALLAH, atas pengetahuanMU, kami serahkan....PRU-12,Malaysia:Jaya.

"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"

Al-Haqir illa ALLAH al-Ghaniy: almukminun

21 Safar 1429: 1159am

Cyberjaya,Selangor

www.almukminun.blogspot.com/

Tiada ulasan: