::Teman Bersama::

Selasa, 15 Januari 2008

بسم الله الرحمن الرحيم

Hadith Maudhu’ (sesat), Dhaif, Siapa Kita Untuk Menjatuh Hukum.

Al-Haqir ila ALLAH Al-Ghani; almukminun

Syukur dirafak tanda abdi hamba kepada Maha Pencipta, ALLAH SWT Yang Maha Mulia. Ana mengambil masa untuk membicara kembali berkenaan isu-isu yang ditimbulkan mutakhir. Merujuk guru-guru, takut-takut yang dibaca, maksud tidak sampai. syaitan laknatullah mengambil peranan!.

Tidak henti-henti umat ini membicara soal furu’. Paling malang dan buruk, kata-kata ditabur tanpa ilmu. Hanya nafsu untuk melahirkan bicara yang sangat nyata hanya di salin, lalu ditampal.

Maaf, bukan prejudis, tetapi biarlah kita bicara atas dasar ilmu semata-mata, dibuang jauh rasa emosi. INSYAALLAH, berkat Ramadhan 1428h ini, moga hadir petunjuk ALLAH ke atas mata hati kita semua.

Lalu, ana cuba mengajak sahabat-sahabat semua melalui artikel yang tidak seberapa ini, betapa tiada sesiapa pun yang mahu terkeluar dari golongan selamat. Definisi Ahli hadis dan sunnah adalah mereka yang mencintai hadis dan memusuhi bidaah!

Mari kita perdalamkan isu yang ingin ana ketengahkan. Golongan yang bangga akan gelaran untuk dipanggil pembela sunnah serta pengikut setia jalan salaffiyyah, turut dikelompokkan ke dalam wahabbi. Tokoh terkemuka bila ditelusuri berkenaan pemikiran ini adalah Ahmad bin Hanbal, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, Muhammad Abd Wahhab dan ramai lagi. Nanti dulu!, siapa kita untuk menjatuh hukum kepada mereka!

Kebanyakan mereka telah dipimpin oleh individu yang tidak dinafikan kepakaran mereka dalam ilmu hadith. Kebanyakan mereka juga mendapat didikan daripada pusat penggajian ilmu hadith di benua India juga Madinah.

Ahli hadith dan sunnah menyakini punca kejatuhan umat Islam kini adalah disebabkan kesesatan yang telah dipilih oleh umat Islam itu sendiri. Kononya ia hasil daripada penyelewengan ke atas tafsir al-Quran dan penyebaran secara berleluasa hadith maudhu serta hadith daif di kalangan umat.

Al-Quran diakui sebagi sumber berautoriti dan disokong dengan hadith yang hasan. Tajdid (pembaharuan) merupakan matlamat utama perjuangan ahli hadith ini dalam menentang penyebaran tersasar manhaj salaf. Dasarnya agar segala bentuk hadith yang berunsur luar serta diragui tarafnya dibuang jauh dari lubuk hati umat Islam. Usaha ini adalah mulia. Malah ia patut disokong dan didokong secara sistematik.

Walaubagaimanapun, usaha yang bersungguh-sungguh dalam perjuangan mengembalikan umat Islam kepada landasan salaf, fitnah turut beriringan dengan usaha tersebut. Manakan tidak, hati mana yang tidak remuk, apabila turath pemikiran Islam difitnah dengan sewenang-wenangnya. Ilmuwan Islam dihina, diherdik akan ilmu yang diwakilinya sejak sekian lama ilmu tersebut didada umat Islam ini.

Mutakallimun, Fuqaha’ dan Suffiyah diserang dan diperlecehkan. Mereka dikatakan sebagai penyebab kepada perpecahan umat ini. Segala mutiara ilmu milik ALLAH SWT yang diilhamkan-NYA ke atas mereka seperti ilmu-ilmu Kalam, Feqah dan Tasawwuf “dipijak-pijak”, dengan penuh hina oleh golongan yang taksub tersebut.

Siapa al-Ghazali, Ibn Arabi, al-Jili berbanding mereka yang bermegah menghina ulama-ulama ini. Rasa memperlekeh dan curiga ditanam ke atas ulama-ulama tersebut, bahkan ahli hadith terdahulu seperti al-Bukhari turut dipertikai oleh penggkaji semasa (yang ilmu mereka sekadar atas kertas). Natijah timbulnya keegoan dalam menjatuh hukum kebiadaban ini sudah tentu dek kerana jahil dan angkuh.

Pertama, epistimologi kerana kekerapan pengkaji-pengkaji hadith tersebut dalam menemui sanad-sanad yang sahih bagi sesuatu hadith, maka dengan sewenang-wenangnya hadith tersebut dikatakan tertolak dan tidak sah tarafnya! Ulama yang membicarakanya turut ditemplak serta kewibawaan dan mutiara ilmiah ulama tersebut dikesampingkan jauh.

Benar, ulama dahulu tidak maksum, tidak juga mereka terlepas daripada kesalahan dan kesilapan kerana memetik hadith daif atau maudhu’, tidak salah bahkan mulia jika kita merendahkan diri dek kerana kita cetek ilmu berbanding ulama terdahulu.

Seorang ahli hadith tidak sama kriteria yang diletak dalam membicara taraf sesuatu hadith. Lain ahli hadith, lain kriteria yang dipegangnya. Maka, dalam soal penentuan kebolehpercayaan serta keesahan seseorang periwayat, terlalu banyak ruang yang boleh diperdebatkan.

Perlu difahami bahawa, ketegori hadith yang menyentuh amalan harian serta hukum-hakam membabitkan kebanyakan orang, pada kebiasaanya punya sanad yang meluas kerana ia sebagai amalan kepada masyarakat umum.

Manakala hadith yang menyentuh soal kerohanian yang hanya difahami segelintir orang(berilmu), sudah pasti tidak mempunyai rangkaian sanad yang meluas. Dengan kata mudah, sukar untuk meletakkan kriteria kepada hadith, pada masa yang sama hukum diletakkan sama terhadap hadith kerohanian.

Hadith soal kerohanian (kelebihan tarawikh dan sebagainya) tentu tidak sepopular hadith hukum yang diketahui secara meluas. Kitab-kitab kumpulan hadith adalah disusun menurut bab amali feqah sedangkan bukan semua hadith tergolong dalam golongan ini.

Ana tekankan bahawa, mana mungkin seorang ulama yang berwibawa tidak akan menyandarkan perkara teras dalam disiplin ilmu yang dibicarakan kepada asas diragui kebenaranya.

Justeru, perlu difahami bahawa seandainya hadith tersebut dhaif atau maudhu’ sekalipun ia dipetik, ia sekadar menyokong pokok persoalan bukan dasar persoalan. Maka, jika hadith berkenaan tidak dimasukkan sekalipun pokok persoalannya tidak terjejas sama sekali. Ini perlu perbincangan bersama Tuan Guru yg alim...

Persoalannya, adakah Al-Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dan Ibn Arabi sengaja menempah neraka kerana membohongi Rasullulah SAW?

Maka, sekiranya terdapat kesalahan serta pembohongan (rekaan) yang dinisbahkan kepada Rasulullah SAW, orang yang memetiknya mungkin tidak mengetahuinya dan perbuatannya itu tidak termasuk dalam “pembohongan” yang tidak disengajakan.

Mungkin hadith tersebut diplih kerana maknanya yang baik dan ia tidak bersalahan dengan dasar agama. Maka, kesilapan yang dibuat adalah teknikal dan bukan pada moral atau epistemologikal.

Lalu, “bersangka baiklah terhadap orang mukmin”. Malangnya sifat husnu dzan ini tidak berlaku. Pelajar dan sarjana hingusan tanpa segan silu menjadi agen penyebar tohmahan berkenaan kedhaifan sesuatu hadith di dalam karya-karya agung ilmuwan dan ulama silam!

Hebat, sungguh hebat orang yang sekadar membaca, berani mengeluar hukum. Orang yang mendengar tanpa merujuk alimin, segera menyebar kisah dhaif dan maudhu’ kepada manusia dengan jumlah tidak terhitung. Berguru tidak pernah, ke kulliyah penggajian kitab-kitab ulama-ulama muktabar, hati berasa berat, bahkan dikunci pintu kecintaan kepada ilmu.

Kemudian timbul keinginan untuk menjatuh hukum sesat ke atas ulama-ulama muktabar melalui penulisan atau ‘cedokan’.

Tuduhan sesat dipetik tanpa ada dasar ilmu. Tidak pernah berguru. Peribadi yang dirujuk tidak diketahui kewibawaannya. Jelas ketiadaan ilmiah, lantas keinginan untuk mengangkat diri tanpa disedari.

Justeru, ana berharap ketidaksedaran ini perlu disedarkan. Tidak dapat tidak dengan mencari ilmu yang masih suci dan bersih dari tuduhan bersifat menyesatkan. Carilah guru-guru mursyid nun mengajar tanpa mengingin habuan.

Ana menyokong andai budaya mencintai ilmu kita hidupkan.
Ana menyokong pemantapan melalui ekspedisi-ekspedisi ke kulliyah ilmu di institiusi-institiusi pondok atau sesiapa juga yang ikhlas penyampaiannya.


Ayuh, kita tinggalkan fitnah ini dengan menyedari bahawa ancaman sebenar kepada Islam bukannya daripada orientalis, tetapi golongan Islam sendiri yang secara sedar atau tidak, dalam diam meruntuhkan epistimologi yang sekian lama menjadi dasar Islam.
Berhati-hati wahai teman dalam membicara isu yang kita bukan ahlinya.

Wallahu’alam
"وصلى اللّه على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم"

Al-Haqir ila ALLAH Al-Ghani,; almukminun
10 Ramadhan 1428H/21092007
UNIMAS, Kota Samarahan

Tiada ulasan: