::Teman Bersama::

Ahad, 23 Oktober 2011

HIMPUN 1432 : Sebuah Pengalaman Yang Mendewasakan


























Limpahan puji kehadrat ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala Yang Maha Mulia , Yang mengangkat jiwa dan sanubari insan untuk mencapai kemulian, DIAlah ALLAH Yang menyingkirkan segala sifat-sifat keji yang ada di dalam hati manusia sehingga tidak menjumpai cahaya keindahan kasih sayang ALLAH, bagi mereka yang tidak putus berdoa diberikan olehNYA rezeki merasai kelazatan doa dan munajat. Dirasakan oleh para hambaNYA yang tidak berputus asa meminta dengan cahaya hati yang tiada ganti, walau hajat sihamba tidak dipenuhi. Bukankah ALLAH lebih mengetahui keperluan hamba-hambaNYA. Doa yang tidak terkabul itu sengaja dihimpun bagi menjadikan hambaNYA terus memuji dan menyembah ALLAH sesungguhnya tanpa jemu dengan menjadikan kejemuan sebagai tipuan sehingga semakin dekat si hamba kepada Rabb nya. Selawat dan Salam keatas Junjungan Mulia Saydina Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم


تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنشَقُّ الْأَرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدّاً

Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap,

أَن دَعَوْا لِلرَّحْمَنِ وَلَداً

Kerana mereka mendakwa mengatakan: (ALLAH) Ar-Rahman mempunyai anak.

[Surah al-Maryam:90-91]



alFaqir bertolak dari Bandar Baru Salak Tinggi jam 1100pagi, Sepang. Dipanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat ALLAH yang Maha Mulia mencampakkan kenikmatan dalam kehibaan bacaan Maulid adh-Dhiul’lami di dalam kenderaan yang bergerak lancar serta tiba di Stadium Shah Alam jam 1230tengahari. Cakera keras tersebut dihadiahkan oleh sahabat alfaqir yakni Tuan Hairi. Beberapa peristiwa yang cuba alfaqir kongsikan dalam HIMPUNAN SEJUTA UMAT SELAMATKAN AKIDAH di Stadium Shah Alam, moga memiliki manfaat.



Peristiwa pertama :



Ketika melalui sekumpulan muslimin dan muslimat, tertera ke..perkasaan mereka. Salam dilafazkan kepada mereka. Salah seorang darinya dalam pertengahan usia berkata, “dik, PAS bagi ke awak datang sini...”. Tidak sempat nak mengucapkan salam, tersentak dibuatnya. Alfaqir menjawab ;..erm, macam mana pakcik tahu yang saya mewakili PAS ? Dijawabnya ; “...tu kupiah putih awak... [sambil beliau tersenyum]”



alfaqir : “uh, saya tidak mewakili PAS, had kupiah tutup kat ataih ni pun mengikut sunnah je Pakcik..” Pakcik :
“Habis tu, awak wakili siapa?”. alfaqir : “Uh, saya hadir atas nama Islam..”. Setelah bersalaman, kami terus ke tempat utama HIMPUN.



Peristiwa kedua :



Saya lalui gerai-gerai tersusun rapi diatapi khemah. Pelbagai barangan dijual. Makanan dan minuman, tertarik juga dengan beberapa jenis makanan. Tetapi, apabila melihat kepada jurujual, rasakan keinginan untuk makan dan minum tertutup erat kerana melihatkan ketidakpatuhan penjual kepada syariat. Berpakaian, ada yang tidak bertudung, bertudung tetapi tidak sempurna, menutup semua terbuka disana. Uh, bukan terhadap wanita sahaja ya, lelaki yang macho juga begitu. Terputus selera.



Saya dimaklumkan jam 2100 malam tadi Ustaz Azhar Idrus yang menjadi ikutan muda-mudi juga saya kagumi akan beraksi dalam Pelancaran Kelab Fotografi Anak Muda.



Saya singgah disebuah gerai buku. Ada dua orang pemilik atau pembantu gerai buku tersebut. Senyum saya tidak terbalas. Sangka baik saya dahulukan. Pertamanya saya melihat buku-buku yang tersusun kebanyakkannya terbitan daripada sebuah syarikat penerbit yang popular dengan seorang penceramah kontroversi yang pernah mengatakan Ibunda dan Ayahnda Saydina Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم kuffur. Naudzubillahi Minzaaliik. Sehingga kini tiada penarikan balik secara terbuka daripada beliau.



Saya membaca lebih separuh buku-buku tersebut dengan tajuk yang menghala kepada menolak akidah Asya’irah dan Matrudiyyah, menyamaratakan tasawuff sebagai sesat dan sebagainya. Hebat... Saya memegang sebuah buku berjudul Tareqat Naqsyabandiah al-Khalidiyyah di Malaysia: Satu Analisa Kritis Berdasarkan Al-Quran & As-Sunnah, penulisnya Dr. Rosdi Yusuf. Saya amati lagi ada kata-kata aluan daripada Dr. Radzi Othman. Alfaqir terperasan, uh dua sahabat baik Dr. MAZA. J



Saya bertanya kepada kedua pemilik atau pembantu gerai tadi, berapa harganya. Mereka memandang ke tempat lain dan tiba-tiba salah seorang pergi mendapatkan pelanggan yang lain. Sekali lagi hati saya berkata : “Takkan jauh kedudukan suara sehingga keduanya tidak dapat mendengar”. Manakala, saya menerima jelingan orang yang kedua, saya amati. Rupanya, saya mengenakan shawl. Sah, mereka cam saya. J Maka, saya tinggalkan keduanya dan berbual menerusi telefon bersama sahabat saya Ustaz JomFaham.blogspot sambil menuju ke perut Stadium Shah Alam.



Saya bertemu dengan Abang Azril . Mantan Pengerusi Islamik Outreach ABIM. Saya melihat beliau menjadi Ahli Jawatankuasa HIMPUN. ALLAHU ALLAH. Beliau yang saya kenali sebagai seorang yang pendiam. Aktif menulis juga sangat merendah diri, berhikmah dan ilmiah dengan pembacaan makalah-makalah yang hebat. Seorang yang sangat saya hormati dan kini bersingsing lengan mengangkat dan mengemas meja makanan. MASYAALLAH.



Usai menumpang solat di Surau orang kenamaan, dalam perjalanan menuju ke surau, sempat saya melihat Dr. Yusri Mohamad bersama para dif kehormat menikmati santapan tengahari, begitu juga ahli persatuan MUNSYID Malaysia. Saya terus berkawan dengan sahabat baharu bernama Naufal. Seorang pelajar jurusan perubatan dari al-Azhar. Muda, ceria dan penuh semangat hadir bersama bapanya yang juga sebagai orang kenamaan dari NGO IKRAM. Lontaran idea dan pandangannya yang mantap juga sempat menadah kalam hikmah daripada para pelajar senior seperti Ustaz Nazrul Nasir di Mesir.



Kemudian saya mengambil tempat di dalam Stadium Shah Alam, lebih tepat disebelah kiri tempat duduk dif-dif kehormat. Sengaja duduk dekat, dengan harapan boleh bersalam mengambil berkat di kalangan alim-ulama yang hadir. Ketika jam 1345, jumlah yang berhimpun beransur-ansur bertambah. Kelihatan rombongan Syed Suhaimi dari Terengganu turut hadir.



MUNSYID Malaysia memulakan persembahan dengan nasyid-nasyid yang menaikkan semangat. Nasyid medley didendangkan dengan penuh bertenaga. Paling menghibakan apabila Selawat Thola’al Badru Alaina didendangkan. Sungguh hiba. Terasa syahdu dan tenang rasa hati mendengar puji mengharap syafaat Saydina Musthofa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Tahniah MUNSYID.



Memadang dari jauh, kelibat MUNSYID Malaysia mengalunkan selawat, bagaikan gambaran kegembiraan para Ansar dan Muhajirin melihat kelibat Saydina Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم dan Saydina Abu Bakar As-Sidiq RA mendekati Madinah. Sayu dan hiba, melihat perpecahan di kalangan umat Islam khusus di Malaysia. Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki ketika mensyarahkan Kitab Tahzib Misykah karangan Imam Khatib at-Tibrizi, menjelaskan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan para sahabat akan saling menaikkan semangat dengan berqasidah sebelum turun ke medan perperangan.



Dr. Yusri Mohamad memulakan ucapan dengan penuh wibawa. Bagai seorang pendekar mengangkat suara agar sebarang niat merosakkan Islam jangan dicuba. Dr. Yusri Mohamad yang juga merupakan Yang Dipertua Yayasan Sofa dan Pengerusi PEMBELA lantang menegaskan HIMPUNAN SEJUTA UMAT SELAMATKAN AKIDAH adalah himpunan selamat dan bermatlamat. Beliau contoh pejuang yang dihimpit kiri dan kanan. Disebelah sana dituduhnya opurtunis kerajaan. Disebelah sana dan sana dituduhnya suara rasmi NGO Pakatan Rakyat. Beliau seorang yang sangat tenang dan tidak gopoh dalam bicara juga tindakan. Amat istiqamah mempertahankan aqidah umat Islam dan tidak bertoleransi dengan ancaman terhadap akidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah.



Himpunan tanpa sebarang campurtangan politik dan bergerak sebagai penyatu umat Islam di Malaysia yang sekian lama ditimpa musibbah asabiyyah. Beliau, sesekali sebak apabila membicarakan perihal isu-isu yang menekan umat Islam, bahkan ia dilancarkan sendiri oleh mereka yang mengaku Muslim. Dr. Yusri Mohamad turut menempelak ahli-ahli politik yang cuba mengambil kesempatan dalam kapasiti “political millage” dengan menjadikan segala isu sebagai modal politik.



Beliau turut menjelaskan berhimpun adalah syariat. Sebagaimana saban minggu umat Islam diseluruh dunia tidak mengira bangsa berhimpun di masjid untuk menunaikan solat Jumaat, lima hari sekali berhimpun di Surau dan Masjid solat berjamaah, terdekat himpunan agung manusia di Arafah dan Makkah. Berhimpun adalah syariat Islam menolak kata bebas “demokrasi” slogan barat.



Mengagungkan dan membesarkan syiar-syiar Islam adalah suatu suruhan dan ajaran yang jelas seperti yang termaktub pada firman ALLAH SWT yang bermaksud: Dan sesiapa yang memuliakan syiar (tanda-tanda) Tuhan, sesungguhnya ia adalah suatu manifestasi dari hati yang bertakwa kepada ALLAH. [al-Hajj: 32]



Dr. Azhar Bin Yaakob yang menjalankan kajian mengenai murtad dalam tesis Phd beliau menegaskan perlunya penggantian undang-undang Islam dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. HUDUD. Beliau mengingatkan umat Islam di Malaysia wajib bersatu untuk menolak sebarang ancaman musuh Islam. Perlunya gesaan kepada kerajaan agar membawa suara rakyat undang-undang Hudud diwujud segera. Maka tersipu-sipulah mereka yang bersuara, kononya HIMPUN tidak lebih konvokesyen kanak-kanak tadika.



Pidato diteruskan pula oleh Ustaz Farhan Abdulullah @ Mantan Pastor Yohanes. Sahabat kepada Ustaz Subri Arshad, guru alfaqir ketika setahun di Pulau Pinang. Beliau mengisahkan perjalanan hidupnya sebagai paderi dan akhirnya kembali kepada agama fitrah.



Datin Sri Fatini Yaacob penulis sejarah Natrah 1950, menggesa umat Islam ketika itu juga terpecah dengan ideologi politik suku. Ada UMNO, Hizbul Muslim dan PKMM yang pada waktu ini diulang siar sejarahnya dengan kewujudan UMNO, PAS dan PKR. Namun, ketika itu mereka bersatu apabila Natrah hendak dinafikan hak Muslimnya. Orang Islam sewaktu itu masuk ke Singapura, ada yang berbasikal, menaiki bas dan berjalan kaki semata-mata untuk membela maruah Islam. Ada yang terkorban syahid. Beliau bertanya kepada audien : mahukah peristiwa ini berlaku kembali ? Jika berlaku, pasti umat Islam akan bersatu.



Tahniah diucapkan diatas kelantangan suara mahasiswa, suara belia yang diwakili oleh GAMIS, perlunya hukum Islam diperjuangkan dan media massa wajar bersifat sensitif. PEMBINA-GPMS, Tiba masa suara pemuda-pemudi jangan diabaikan. Wakil NGO Belia FELDA, Abdullah Abu Bakar, bekas timbalan naib canselor UiTM, Datuk Ibrahim Abu Shah, turut menyampaikan syarahan.



Presiden FORCARD, Ustaz Kamaruzzaman yang juga merupakan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan secara terang menekankan agar hukum Islam dikembalikan melebihi Perlembagaan sedia ada. Al-Quran, Sunnah, Qiyas, Ijma’ Ulama wajib dijadikan sumber pengambilan hukum yang utama.



Tiba pula giliran Sohibus Samahah Tan Sri Dr. Harussani Zakaria. Hujan renyai mulai turun. Sebagaimana sayunya para hadirin mendengar ucapan beliau dengan nada yang lembut, tetapi sangat menusuk kalbu. Dalam tempoh 15 minit atau kurang dari itu, kelihatan ramai yang menitiskan air mata. Beliau mengulangi, wajib umat Islam bersau atas nama akidah yang benar bagi menyelamatkan jika tidak generasi kini, untuk generasi akan datang dengan keselamatan akidah yang benar. Alfaqir tidak mendengar dengan jelas mengenai dalil yang dipetik oleh Sohibus Samahah Dr. Harussani, cuma yang terdengar السِّلْمِ كَآفَّةً yang membuatkan airmata mengalir. ALLAHU ALLAH.... Barangkali yang mengingati boleh berkongsi dengan alfaqir. Beliau juga membacakan sepotong ayat al-Quran :



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَآفَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ



Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. [al-Baqarah : 208]



Cikgu Azmi yang dalam meneruskan perjuangan mempertahankan akidah umat Islam turut tidak terlepas daripada segala fitnah. Ada sahaja perkara yang diada-adakan oleh pentaksub asobiyyah dari “kedua-dua arah”. Beliau telah membacakan resolusi HIMPUN. Mengajak umat Islam terus menyatakan sokongan keapda bersatu menolak MURTAD. Kolumnis Harakah, ruang Catatan Hujung [23-25 Zulkaedah 1432H] Saudara Ahmad Lutfi Othman turut menyokong usaha HIMPUN setelah menerima emel balas daripada Cikgu Azmi.



Ketika giliran Y.B Dato’ Dr. Hassan Ali, beliau hadir sebagai umat Islam yang cintakan akidah yang saalim. Bukan atas nama POLITIK. Beliau hadir sebagai umat Saydina Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم yang mahu menjadi yang pertama mendahulukan jihad mempertahankan Islam tanpa menghiraukan sebarang tekanan-tekanan politik. Alunan zikir munajat dan doa beliau telah menyebabkan para peserta HIMPUN tidak dapat menahan sebak. Alfaqir merasakan umat Islam atau bukan Islam sangat memerlukan pemimpin yang berkarisma seperti beliau.



Kesimpulannya, tiada sebarang kesempatan diambil oleh ahli-ahli politik secara terang-terangan dalam HIMPUN. Majlis berlangsung dipenuhi TAKBIR, TASBIH, TAHMID memuji ILLAHI. Malah, tidak kira Cina, India, Melayu, Kadazan atau Iban melihat HIMPUNan ini sebagai titik pertemuan dalam perbezaan yang tercipta setelah sekian lamanya. Rata-rata ahli panel menyatakan umat Islam wajib bersatu. Tegakkan hukum ALLAH. Media massa perlu kedepankan isu murtad kerana ia bukan perkara picisan tetapi keutamaan. HIMPUN merupakan pertemuan bersejarah umat Islam untuk bermuhasabah diri akibat kebejatan gejala MURTAD.




قال رسول الله ِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :
كُلُّ نَبِيٍّ سَأَلَ سُؤْلًا أَوْ قَالَ لِكُلِّ نَبِيٍّ دَعْوَةٌ قَدْ دَعَا بِهَا فَاسْتُجِيبَ فَجَعَلْتُ دَعْوَتِي شَفَاعَةً لِأُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ

(صحيح البخاري)



Sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم : “Semua Nabi memohon permohonan, atau semua nabi mempunyai doa yang ketika mereka berdoa dikabulkan, maka kujadikan doaku adalah syafaat untuk ummatku di hari kiamat” [Shohih Bukhari]



.اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم



“Ya ALLAH.... Sinarilah mata hati kami, bukakanlah pendengaran hati kami, perlihatkanlah kebenaran itu kepada kami sebagai suatu kebenaran, dan jadikanlah kami mampu mengikutnya. Serta tunjukkanlah kami kebatilan itu sejelas-jelasnya dan kurniakanlah kami kemampuan menjauhinya.”



Alfaqir ilallah:

Almukminun

25 Zulkaedah 1432H/23102011

0227pagi

BBST Sepang

9 ulasan:

Fatimah bintun Qamar berkata...

Sayangnya tiada di sana.

manajanjimu berkata...

KUDOAKAN HIMPUN MENJADI PRINTIS KEPADA HIMPUNAN UMMAH YANG UNIK DAN BERSIH DARI'ASSOBIYAH DEMOKRASIAH ....MENYOKONG PANDANGAN DR YUSRI MENGENAI SUNNAH BER'HIMPUN' ......................................................TERKENANG ZAMAN BERSAMA ABIM YANG MASIH SUCI DARI POLITIK SEBELUM 1975.......DAN AL ARQAM SEBELUM ERA SILAT SUNDA /GROUP COMPANIES 1976 dan ZAMAN UTHMAN MUHAMMADY DAN TAL TUJUH YANG SYUMUL DGN AQIDAH SYARIAH DAN AKHLAK SEBELUM 1978.......SEMUANYA BERHIMPUN KERANA ALLAH DAN RASUL.....KERANA CINTAKAN ISLAM DAN PERSAUDARAAN ISLAM........SUCI DARI 'ASSOBIYYAH POLITIK/EKONOMI/SOCIAL [HARTA/TAKHTA/WANITA]....himpunan mereka2 yang menjadi obor kebanggaan UMMAH ALLAHUAKBAR !!!!!

Jannah berkata...

Saya mohon, sama-sama kita dalami ilmu perbandingan agama. Dalami sirah Nabi, bagaimana baginda berhadapan dengan kaum Musyrikin yang mengajak masyarakat tika itu utk terus berpegang dengan agama nenek moyang.

Perlu disedari, orang bukan Islam itu juga meyakini agama mereka adalah agama yang benar. Lalu dengan menghimpun mempertahankan aqidah, bisakah kita membuka mata mereka bahawa agama yang benar adalah Islam?

Fikirkan impak yang lebih besar. Berubahnya pandangan non-muslim terhadap kita, dan tersekatnya perjalanan dakwah akan datang.

adeq berkata...

hehe salute lu jannah.

Tanpa Nama berkata...

Tahniah Jannah, sekurang-kurangnya enti membawa pandangan yang bernas, begitu juga Siti dan encik MJ.

Walaubagaimanapun,kita perhatikan pula, apakah penganjur2 yang dari pelbagai disiplin ilmu tidak tahu langsung tentang disiplin perbandingan agama sehingga menganjurkan HIMPUN.

Kiranya apakah ijtihad mereka sehingga mengganjurkan HIMPUN.

barangkali saudari boleh kembangkankan lagi bagaimana Rasulullah Shollallahu Alaihi Wassalam berdakwah dgn masyarakat.

Ya org x Islam yakin akan agama mereka, persoalannya HIMPUN bukan menidak atau menjatuhkan agama mereka. Saudari disana bukan?

Sekurang-kurangnya ada mata yg memandang bahawa orang Islam dalam jumlah yg kecil mampu melakukan apa sahaja utk memeprtahankan akidah mereka. daripada tiada apa yg dilakukan.

impak besar, berupa hikmah, dakwah tersekat atau tidak bergantung kaedah apa yg kita lakukan. uh ya saudari dan adeq ada blog?

teruskan perjuangan HIMPUN ..

Jannah berkata...

@Tanpa nama

Saya boleh katakan boleh jadi mereka kurang ilmu perbandingan agama, kerana ianya mmg kurang dipelajari oleh masyarakat Islam. Lihat saja, berapa ramai yang benar2 tahu ttg agama Kristian (selain HANYA konsep triniti), agama Buddha dan Hindu? (menekankan agama2 yang dipraktiskan dalam konteks Malaysia). Bukan jua saya, tapi menurut perspektif itu, agama lain akan melihat HIMPUN sebagai jalan tutup bagi mereka mendekati orang Islam.

"Sekurang-kurangnya ada mata yg memandang bahawa orang Islam dalam jumlah yg kecil mampu melakukan apa sahaja utk mempertahankan akidah mereka. daripada tiada apa yg dilakukan." - Pertahankan aqidah sama sekali bukan dengan cara berHIMPUN. Kaji semula kes murtad, handling those apostates than you know, jarang yang melibatkan sebab utama adalah kerana pengaruh agama lain.

I, as layman, seeing this HIMPUN sebagai platform yang menyalahkan agama lain kerana menyebabkan ramainya murtad. Kelemahan aqidah, takkan dapat diatasi dengan menegakkan Islam sekadar dalam perlembagaan, it comes with absolute understanding.

Apapun, HIMPUN sudah berlalu. Mari perkasakan dakwah, kuatkan aqidah. Fahami Islam yang sebenar. Respect others' beliefs.

Tanpa Nama berkata...

http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/6203-cegah-murtad-mantapkan-aqidah-bukan-himpunan

saya setuju dengan president PAS

Tanpa Nama berkata...

http://www.youtube.com/watch?v=mOFjC56mCmU&feature=player_embedded#!

harap didengar!

Tanpa Nama berkata...

di sabah sarawak, penganut islam masuk kristien beramai2, satu sekolah, satu kampung, satu taman menjadi perkara biasa dah. jgn semenanjung pun jadi camtu juga. himpun utk tunjukkan umat islam semenanjung sgt ambil perhatian.

himpun tak salahkan semua penganut kritien tapi sebilangan yg mencari peluang murtadkan umat islam yg lemah. salah dari segi perlembagaan. tak perlu 'jannah' bimbang mrk menjauhi org islam sebab himpun. abu bakar memerangi murtad tak bimbangpun..

ahli isma