Menyendiri bagi seorang murid
dari Gurunya adalah bagaikan racun yang mematikan.
Seorang murid menyangka dirinya
sudah mencapai darjat kesempurnaan.
"Oleh itu lebih baik aku
menyendiri," dia berkata didalam hatinya.
Maka pergilah dia mengasingkan
dirinya di suatu tempat dan berada disitu dalam jangkamasa yang lama jauh dari
pengetahuan Gurunya. Setiap malam dia bermimpi ada beberapa orang yang datang
membawa seekor unta kepadanya dan berkata : “Kami akan menghantarmu ke syurga.”
Maka naiklah dia keatas
punggung unta dan mereka berangkat kesebuah tempat yang indah dan nyaman, penuh
dengan manusia yang gagah dan tampan. Makanan-makana yang lazat dan anak-anak
kecil bermain di gigi sungai. Dia tinggal di situ sehingga terbit fajar,
kemudian dia jatuh dari tidur dan tersedar bahawa dia masih berada di dalam
biliknya. Disebabkan pengalaman ini, dia menjadi bangga dan angkuh.
“Setiap malam aku menziarahi
syurga.” Dia berkata dengan bangga memuji dirinya sendiri.
Maka terdengarlah kisah anak
muridnya oleh Syeikh Abul Qasim al-Junaid salah seorang tokoh sufi meninggal
tahun 298H. Syeikh Junaid mendatangi anak muridnya dan bertanyakan keadaan yang
dialami oleh murid beliau.
Pesan Syeikh Abul Qasim al-Junaid :
“..malam nanti apabila engkau dihantarkan kesana, ucapkanlah :
سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ الْعَلِيُّ الْعَظِيمِ عَدَدَ خَلَقِ اللَّهِ وَبِدَوَامِ مُلُكِ اللهِ
"Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan yang lain
melainkan Allah, Allah yang Maha Besar, tiada daya dan kekuatan kecuali dengan
pertolongan Allah yang Maha Besar, pujian sebanyak bilangan ciptaan Allah dan
selama kekalnya Kekuasaan Allah"
Malam itu seperti biasa, murid
Syeikh Junaid dihantar ke tempat tersebut. Dalam hatinya dia tidak yakin
terhadap perkataan Syeikh Junaid, tetapi ketika sampai di tempat itu, sekadar
acuh tidak acuh dan mencuba-cuba dia mengucapkan : “سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ ” [Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah.....]
Sekelip mata orang-orang yang
berada disitu meraung-raung kesakitan dan bertempiaran lari. Kemudian
terlihatlah olehnya bahawa tempat itu merupakan tempat pembuangan sampah dan
berselerakkan tulang-tulang ternakan. Setelah menyedari kekeliruan dan tipuan
syaitan ketasnya, si murid lantas bergabung kembali dalam halaqah-halaqah zikir
dan ilmu yang dipimpin oleh Gurunya.
Sedarlah dia bahawa menyendiri
bagi seorang murid adalah bagaikan racun yang mematikan. Begitulah kisah
seorang murid yang merasakan sudah cukup berilmu tanpa izin memisahkan dirinya
dari majlis-majlis ilmu pimpinan Guru-gurunya. Permasalahan yang sama turut
berlaku kepada para pencinta ilmu, tetapi hanya galak menelaah tanpa talaqqi
bersumber dari sanad yang sahih. Begitu halnya dengan ketagihan sumber dari
INTERNET dan buku yang hanya merupakan tempelan maklumat yang perlukan
perbahasan dan syarahan dari Guru dan Ulama. Maka, bertambahlah kebodohan dan
akibat tipuan-tipuan syaitan. Bersyuhbahlah bersama para ulama bagi membimbing
perjalanan yang dihimpit masa.
Mohon doa mendoakan.
اللهم صل على سيدنا محمد و على اله و صحبه و بارك و سلم
Al-faqir ilallah :
almukminun
4 Ramadhan 1433h / 24072012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
::Kemudian dipenuhi kepada setiap jiwa (pembalasan) apa yang diusahakannya, sedang mereka tidak dianiayai::
~al-Baqarah2:81~